Saturday, April 30, 2005

I-Salleh Ben Joned (Sajak-sajak Salleh)

Kalau sampai waktu I
Kepada tuhan I akan merayu
Yakin yang I ini
Masa hidup dan mati
Melayu dan muslim sejati

I ini manusia beradab
Kepada segala tuntutan masyarakat

Kehidupan I anggap satu cabaran
Untuk mencapai idaman
Yang disahkan oleh kaum I :
Kerja senang sebagai kakitangan kerajaan
Sebuah rumah teres di Desa Jaya
Lengkap dengan mesih basuh, tv dan seorang suri
Sebiji proton saga yang dicuci setiap hari
Beretika kerja berdikari
Untuk bangsa,agama dan negara
Lapan jam sehari (Hari minggu tak kira ; hari itu I khaskan untuk mingguan perdana dan TV sepanjang hari)

I warganegara merdeka
Kemerdekaan negara kemerdekaan I
Kebebasan pada I hanya satu beban
Apa pemimpin kata I ikut saja;
Akal yang diberikan tuhan
Tak payah digunakan –
Kecuali untuk cari makan

Syurga – dunia dan akhirat-dijaminkan
Oleh sembahyang lima kali sehari
Amanah saham Rm 50 ringgit sebulan
Dan Dallas dan Dynasty
Seminguu dua kali

Keraguan dan kerinduan
Jiwa (jika ada)
I bawa berlari,berlari
Dari rumah ke pejabat
Hingga hilang segala sangsi
Dalam bunyi lantang peti tv
Tiap-tiap malam hari
Sambil ternganga tengok tv
I menjilat jari –
Begitu sedapnya ayam Kentucky

Dan I akan lebih tidak peduli
I mahu hidup begini
Seribu tahun lagi.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home